USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM FOKUS PADA PENYELIDIKAN TERMAJU, KOLABORASI IMPAK TINGGI

 DSC8144

PULAU PINANG, 3 Jun 2015  - Universiti Sains Malaysia (USM) akan menumpukan fokus hala tuju ke arah memantapkan penyelidikan termaju dan program-program akademik bertaraf antarabangsa.

Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM juga akan memperkasakan kolaborasi berimpak tinggi dengan rakan strategiknya di seluruh dunia, selaras dengan hasrat memacu pengajian tinggi masa hadapan.

Katanya, perancangan strategik jangka panjang  itu wajar dilakukan bagi membolehkan USM kekal berdaya saing dan kompetetif, selain menjadi Universiti pilihan pada masa hadapan.

``Kita juga akan mengukuhkan aspek penjanaan kewangan yang boleh membantu meningkatkan keupayaan Universiti berautonomi serta memantapkan pengurusan bakat dan pembangunan berteraskan kepakaran yang sesuai.

``Usaha ini dijangka dapat dilengkapkan penghujung tahun ini bagi membolehkan ia dilaksanakan sepenuhnya bermula pada tahun 2016,’’ ujarnya sambil menegaskan usaha USM itu selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Pengajian Tinggi (PPPM-PT).

 DSC8113

Beliau berkata demikian ketika mengulas persetujuan yang dicapai dalam perjumpaan khas USM Board of Governors Retreat yang diadakan di USM, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, timbalan-timbalan naib canselor, USM Leading Thinkers, pegawai-pegawai utama universiti dan sebagainya.

Omar juga menegaskan, perancangan jangka panjang USM ini sejajar dengan inisiatif kerajaan melalui PPPM-PT yang mana ia dilihat dapat memberi nilai tambah kepada pembangunan Universiti secara mapan dan holistik.

``USM akan memainkan peranan dalam mengukuhkan program-program rentas bidang dan menjadikannya teras utama untuk membangunkan praktis kelestarian dengan lebih hebat dan terkehadapan.

``Kita juga menggunakan prinsip Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) untuk dijayakan oleh segenap warga Universiti yang turut memperlihatkan semua pihak termasuk LGU, pengurusan tertinggi, pensyarah, pentadbir, pelajar dan sebagainya bergerak dalam satu pasukan,’’ katanya.

1

Beliau menegaskan, USM turut bersetuju untuk mengadakan proses perancangan senario berasaskan pendidikan masa hadapan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Perancangan strategik ini  akan melibatkan pengurusan tertinggi Universiti, ahli-ahli LGU, rakan strategik dari industri serta pemikir-pemikir strategik muda dalam kalangan warga universiti.

``Warga USM diseru terus menyokong dan memberi input untuk menjadikan USM sebuah institusi ilmu terkemuka rentas bidang dalam konteks realiti, relevan dan dihormati.

``Kita akan pastikan apa yang dirancang terus dilaksanakan dan dibudayakan dalam minda warga USM,’’ ujarnya sambil memberitahu USM juga sedang meneruskan program-program khusus yang digariskan dalam perancangan 2015 serta APEX Fasa II. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 944

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024