USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANGUNKAN KEMUDAHAN UNTUK PENINGKATAN BAKAT DAN KAPASITI SUKAN

IMG 20150602 WA0004
 
PULAU PINANG, 2 Jun 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini berharap agar Kompleks Sukan Azman Hashim yang sedang giat dibina di dalam Kampus Induk USM dapat dimanfaatkan sepenuhnya semua pihak apabila siap kelak untuk membangunkan kapasiti yang ada dengan sepenuhnya terutamanya dalam pembangunan bakat yang ada.
 
Bercakap dalam temu bual khas dengan sebuah stesyen televisyen, Omar berkata, kompleks ini diharapkan dapat mengukuhkan kedudukan USM dalam membangunkan bakat dan kapasiti latihan yang dapat dikongsi dengan pelbagai pihak lain.
 
Kompleks sukan yang dijangka siap pada bulan Julai 2015 itu juga akan menjadi satu lagi mercu tanda dalam pembangunan sukan USM dan di negeri Pulau Pinang.
 
“Pelbagai kemudahan disediakan seperti gimnasium, gelanggang futsal, badminton, bola keranjang dan bola tampar, serta dewan serba guna yang mampu memuatkan hampir 500 orang pada satu-satu masa,” katanya.
 
Omar juga berharap apabila siapnya kompleks sukan tersebut, Pusat Sukan dan Rekreasi USM akan dapat menguruskannya dengan sebaik mungkin  dan berupaya menjana kewangan tambahan kepada universiti melalui penyewaan kepada pelbagai agensi luar.   
 
IMG 20150602 WA0010
 
“Di samping itu, dalam memastikan warga kampus sendiri mengamalkan gaya hidup sihat dan mempunyai kemudahan prasarana yang selesa, Stadium Hoki USM juga akan dinaik taraf termasuk dengan pembinaan stadium di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.”
 
Pada masa yang sama, Omar juga turut mengucapkan tahniah kepada skuad bolesepak USM Minden Tigers yang kini sedang beraksi dalam Divisyen Dua Liga IPT 2015.
 
“Bukan mudah untuk kita sampai ke tahap ini, setelah melalui pusingan kelayakan yang melibatkan hampir 80 pasukan bertanding, dan kini, kita semakin hampir dengan kejayaan layak ke Divisyen Satu tahun hadapan’ ujarnya.
 
“Semangat yang dipamerkan mereka, dengan mengambil contoh pasukan staf USM FC yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Malaysia, amat membanggakan.”
 
IMG 20150601 WA0021
 
Tambah Omar lagi, program kemasukan pelajar melalui saluran alternatif warga sukan yang dimulakan sejak 2009, ternyata membuahkan hasil apabila pelajar yang terpilih dalam menyambung pengajian, berjaya mengharumkan nama USM dalam pelbagai disiplin sukan.
 
“Ini membuktikan bahawa USM bukan sahaja terkenal sebagai universiti penyelidikan, bahkan mampu melahirkan atlet-atlet yang mewakili negara dan bertaraf dunia.”
 
“Bagi kemasukan Sidang Akademik 2015/2016 yang akan datang, USM bercadang mengambil 50 orang atlit yang berpengalaman dalam pelbagai jenis sukan.”
 
 Omar juga berharap dengan pengalaman yang ada, mereka dapat berkongsi bersama-sama demi kebaikan semua  pihak, dan membuktikan mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, bahkan juga dalam ko-kurikulum.
Teks/Foto : Mohamad Danial Shahri 
  • Created on .
  • Hits: 1277

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024