USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MANTAPKAN KOMPETENSI GURU BAHASA MELAYU

PULAU PINANG, 30 Mei 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) memantapkan kompetensi guru Bahasa Melayu dengan memberi fokus kepada kualiti guru dalam aspek pedagogi, kecekapan berbahasa dan profesionalisme dengan penganjuran Seminar Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Melayu “Mengukuhkan Akar, Menjulang Pucuk” yang bertempat di Tabung Haji (TH) Hotel, di sini, pagi tadi.

Pengembalian status Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk pembelajaran Matematik dan Sains dengan pemansuhan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2009, menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa peka dengan kemahuan rakyat Malaysia, selain mengakui pentingnya mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Demikian ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan perasmiannya di hadapan kira-kira 110 orang peserta seminar kebangsaan tersebut yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga 31 Mei 2015.

Beliau turut mengambil contoh negara matahari terbit iaitu Jepun yang dapat berdiri sendiri dengan berbekalkan sejarah ketamadunan bangsa yang hebat melalui pembudayaan bahasa Jepun itu sendiri dalam semua hal yang melibatkan negara.

Omar turut berharap agar Institut Pengajian Tinggi (IPT) seharusnya mengambil langkah proaktif dan turut sama menggembleng tenaga bagi membantu guru-guru Bahasa Melayu supaya tidak ketinggalan dari segi ilmu dan kemahiran pengajaran abad ke-21.

Tegasnya lagi, isu dan permasalahan berkaitan Bahasa Melayu sering menjadi bahan perbincangan sarjana dan pembuat dasar. Hal ini demikian kerana sifat Bahasa Melayu itu sendiri yang dinamis iaitu berkembang mengikut perkembangan semasa.

“Oleh itu tidak boleh tidak akan berlaku kekeliruan yang sedikit sebanyak akan mempengaruhi sentimen masyarakat terhadap fungsinya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

“USM akan sentiasa membantu dan memberikan sokongan terutama dalam memartabatkan dan memperkasa penggunaan Bahasa Melayu khususnya dalam bidang sains dan teknologi,” ujarnya lagi.

Omar juga berharap agar komitmen daripada semua pihak yang terlibat diharapkan dapat menghasilkan impak yang besar kepada usaha memartabatkan Bahasa Melayu demi kecemerlangan generasi Malaysia.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar berkata, golongan pendidik mampu bertindak sebagai agen dalam melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan Bahasa Melayu yang baik dan membanggakan.

Beliau turut menegaskan bahawa kelangsungan Bahasa Melayu dalam dunia teknologi tanpa sempadan ini bergantung pada sikap dan komitmen kita untuk memperjuangkannya dalam jangka masa yang panjang, hal ini disebabkan oleh Bahasa Melayu sentiasa relevan sebagai bahasa pengantar serta sebagai alat komunikasi dan bahasa ilmu serta perpaduan.

Pengerusi Seminar, Profesor Madya Dr. Rohizani Yaakub juga turut berharap agar seiring dengan perkembangan abad ke-21 yang menuntut pelbagai cabaran kini, turut mempengaruhi pembelajaran Bahasa Melayu, justeru para pendidik perlulah sentiasa bersedia mencari alternatif-alternatif baharu dan terkini bagi memastikan sesi pembelajaran berlangsung dengan efektif, efisien, terkini dan dalam masa yang sama segar relevan dalam sistem pendidikan negara.

Penganjuran seminar yang menemukan pakar dan tokoh pendidik bahasa ini merupakan satu wahana yang dapat menemukan inovasi dalam pedagogi dan bahan pengajaran yang efektif untuk pendidikan Bahasa Melayu.

Tema seminar kali ini dipilih bersesuaian dengan peranan yang perlu dimainkan oleh semua pendukung Bahasa Melayu apatah lagi para pendidik untuk meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang setanding dengan bahasa antarabangsa yang lain.

Seminar ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM dengan kerjasama Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Wilayah Utara, Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam Pulau Pinang, dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Hadir sama ialah Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat mewakili Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Madya Dr. Najeemah Mohd Yusof; Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, Tuan Haji Ahmad Shokri Saad; Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam Pulau Pinang, Encik Mohd Saat Abas; para pegawai pendidikan, guru-guru serta peserta seminar. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1759

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024