USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, NUT TINGKATKAN KERJASAMA MELALUI PENUBUHAN PUSAT TEKNOLOGI GIKAKU NUT-USM

 DSC7981dfghf

PULAU PINANG, 29 Mei 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus meningkatkan kerjasama antarabangsanya dengan Nagaoka University of Technology (NUT) Jepun dalam bidang akademik dan penyelidikan melalui penubuhan Pusat Teknologi Gikaku NUT-USM (NUT-USM Gikaku Technology Centre).

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, pusat kolaborasi bersama itu akan ditempatkan di bangunan Toray USM Knowledge Transfer Centre di Kampus Induk USM yang dijangka siap pembinaannya tidak lama lagi.

“Dengan itu juga, USM akan menyertai rangkaian NUT yang sedia ada meliputi Mexico, Sepanyol, Vietnam dan Thailand, yang mana konsep/model ini telah diterapkan dengan jayanya oleh NUT, dan memberi fokus kepada bagaimana hendak membawa syarikat-syarikat Jepun sama ada yang beroperasi di Malaysia ataupun di Jepun untuk bersama-sama mempromosikan kolaborasi penyelidikan ini di USM, di samping melihat bagaimana hendak mengaplikasikan sistem pembelajaran dan kemahiran Gikaku yang digunakan oleh NUT di Jepun,” katanya.

Menurutnya lagi, USM sememangnya mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan NUT selama ini dan telah menjalankan bersama beberapa program kerjasama akademik, antaranya program ijazah kedoktoran dalam penyelidikan dan penyeliaan dalam bidang Sains Kimia dan Kejuruteraan Bahan.

“Selain itu, kita juga ingin melanjutkan kerjasama dengan menerokai penawaran program ijazah berkembar (double degree) atau ijazah bersama (joint degree) di peringkat sarjana dalam fizik nuklear dan fizik, memandangkan NUT ialah sebuah universiti yang berfokus kepada kejuruteraan dan mempunyai kepakaran dan makmal-makmal terkini dalam bidang kejuruteraan nuklear dan fizik nuklear.

“Saya amat berterima kasih kepada NUT kerana telah membiayai ramai pensyarah kita dan juga pelajar sarjana kita menghadiri beberapa program di NUT serta menjalankan kajian bersama menggunakan kemudahan yang terdapat di makmal-makmal di NUT,” katanya.

Omar berkata demikian ketika ditemui untuk memperincikan hasil lawatan beliau mengetuai delegasi USM ke Jepun untuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan kolaborasi dengan NUT dan juga beberapa universiti terkemuka di Jepun baru-baru ini.

Beliau juga berkata, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Bersama (Joint Consultative Committee) di peringkat universiti bersama dengan NUT yang akan bermesyuarat secara berkala untuk meningkatkan lagi kerjasama USM-NUT dalam program-program kolaborasi yang sedang dan akan dikendali bersama.

NUT ditubuhkan pada tahun 1976 merupakan antara dua universiti teknologi kebangsaan di Jepun yang diberi penghormatan oleh kerajaan Jepun untuk melaksanakan projek Top Global University, projek bermatlamat meningkatkan keserasian dan kebersaingan pendidikan tinggi di Jepun pada peringkat global. - Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 895

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024