USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NEGARA PERLU PEMBANGUNAN YANG MENYELURUH DAN LESTARI

PULAU PINANG, 28 Mei 2015 – Untuk mencapai sasaran sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, satu dasar yang khusus, menyeluruh dan lestari amat perlu dirangka. Usaha ini penting untuk memenuhi keperluan menyeluruh masyarakat termasuk kumpulan yang miskin dan terpinggir. Justeru ia perlulah meliputi seluruh sudut pembangunan modal insan dan pendidikan masyarakat.

Menurut pakar ekonomi, Profesor Adjunct Ekonomi dan Pengajian di Universiti Malaya Tan Sri Datuk Dr. Kamal Salih, pendekatan ekonomi yang menyeluruh perlu diambil supaya masalah ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat dapat dikawal.

“Pendekatan pembangunan manusia yang digunakan untuk menilai pembangunan yang menggunakan kerangka manusia dan kebolehan mereka dan bukan pertumbuhan ekonomi semata-mata, mestilah menjadi kriteria mutakhir dalam mengukur pembangunan sesebuah negara,” katanya lagi.

Tegasnya lagi, pembangunan lestari atau mapan seperti yang didefinisikan oleh Laporan Bruntland bermaksud pembangunan yang memenuhi keperluan semasa tanpa mengkompromi kebolehan generasi masa hadapan memenuhi keperluan mereka yang seharusnya menjadi teras dalam pembangunan ekonomi negara.

Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute Malaysia Dr. Muhammed Abdul Khalid pula berkata, kira-kira 53 peratus isi rumah di Malaysia tidak mempunyai apa-apa aset yang melibatkan isi rumah luar bandar sebanyak 63 peratus, manakala bagi bandar pula sebanyak 45 peratus yang seharusnya membimbangkan semua pihak lebih-lebih lagi dalam keghairahan mencapai negara Ekonomi Berpendapatan Tinggi Menjelang 2020.

Menurutnya lagi, banyak cabaran perlu dipikul oleh pihak yang berkenaan dalam bersama-sama meneruskan agenda pembangunan negara selari dengan Rancangan Malaysia Kesebelas termasuk dalam menyusun strategi untuk pembangunan ekonomi komuniti Bumiputera.

Kedua-dua pakar tersebut memberikan pandangan mereka dalam syarahan umum bertajuk Pembangunan dan Ketidaksamaan: Bolehkah Malaysia Mencapai Pembangunan Inklusif Sebagai Ekonomi Berpendapatan Tinggi Menjelang 2020.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita dan Gender (KANITA) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi ini.

Mereka terlibat sebagai juru runding utama dalam Penyediaan Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013. Laporan tersebut mengupas isu-isu berkaitan pembangunan ekonomi, sosial, politik dan undang-undang. Laporan ini juga turut menekankan isu ketidaksamaan keserantauan, gender, etnik dan sebagainya.

Terdahulu, Pengarah KANITA selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Syarahan Umum Kebangsaan 2015, Profesor Madya Dr. Noraida Endut menyeru agar kerjasama yang lebih erat khususnya dalam memberikan input-input dan ilmu yang berguna kepada warga kampus pada masa akan datang diteruskan untuk kemakmuran ekonomi pada masa hadapan.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah KANITA Profesor Madya Dr. Norhafizah Selamat; Timbalan Dekan (Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Profesor Madya Dr. Intan Hashimah Mohd Hashim; para pensyarah USM serta para pelajar USM. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1431

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024