USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAKAR KRISTALOGRAFI RAIH ANUGERAH PRODUKTIVITI PENYELIDIKAN KING SAUD UNIVERSITY

Photo taken with Dean of College of Pharmacy after the ceremony 2

PULAU PINANG, MEI 2015 – Ahli kristalografi sinar-X tersohor dunia dan mantan Profesor di Pusat Pengajian Sains Fizik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Fun Hoong Kun telah mengharumkan nama negara sekali lagi apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Produktiviti Penyelidikan: Kategori Sains Kesihatan daripada King Saud University, Riyadh, Arab Saudi.

Anugerah tersebut yang dianggap sangat berprestij di Arab Saudi telah disampaikan sendiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Putera Faisal bin Bandar bin Abdulaziz, Gabenor Riyadh dalam majlis gilang gemilang di King Saud University, Riyadh, pada 19 Mei 2015 yang lalu.

Photo taken with Dean and Vice Rector for Development and Quality

Bagi Fun, 69, ini merupakan anugerah pertama yang diterimanya sejak mula berkhidmat dengan King Saud University, pada September 2012 sebagai profesor dan penyelidik di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Kolej Farmasi setelah berkhidmat hampir 38 tahun di USM (September 1974 – Ogos 2012).  

Mengulas tentang pencapaian terkini beliau, Fun berkata, Anugerah Produktiviti Penyelidikan ini dianugerahkan oleh King Saud University setiap tahun kepada penyelidik-penyelidiknya yang berjaya menghasilkan penerbitan ISI (Institute for Scientific Information) yang paling banyak, berkualiti cemerlang dan memberi impak besar kepada bidang-bidang penyelidikan saintifik dalam tempoh lima tahun.

“Saya amat gembira dan terharu dengan penganugerahan tersebut kerana kerja penyelidikan saya dalam bidang “Single Crystal X-ray Structure Determination” diiktiraf oleh pihak King Saud University apatah lagi saya hanya berkhidmat kurang daripada tiga tahun di universiti tersebut, berbanding dengan penyelidik-penyelidik lain yang telah berkhidmat jauh lebih lama daripada saya.

Award Trophy

“Saya juga tidak menyangka akan memenangi anugerah ini kerana ada ramai lagi rakan sekerja saya yang berkhidmat lebih lama dari Kolej Perubatan, Kolej Farmasi dan Kolej Pertanian (kategori Sains Kesihatan) yang turut memohon, apatah lagi saya ialah pemenang tunggal dari ketiga-tiga kolej tersebut,” kata Fun yang menerima hadiah wang tunai SAR100,000 (RM100,000), Piala dan Sijil Penghargaan untuk Kecemerlangan Saintifik.

Fun bukanlah nama asing dalam dunia kristalogafi. Beliau telah menghasilkan lebih 2,300 penerbitan Scientific Citation Index (SCI) dalam jurnal antarabangsa berwasit. Indeks-h beliau, yang melambangkan hasil saintifik seorang penyelidik adalah sebanyak 44, meletakkan beliau pada kedudukan ke-6 sebagai penyelidik yang paling menyelesaikan struktur baru di dunia dalam kalangan 447 penulis dalam bidang pengkhususan kristalografi oleh Cambridge Structural Database (CSD) yang berpusat di University of Cambridge, United Kingdom (data Januari 2014).

Anak watan Pulau Pinang ini juga pernah diiktiraf sebagai saintis paling produktif di Malaysia yang dilaporkan dalam ‘Science and Technology Knowledge Productivity in Malaysia Bibliometric Study 2012’, hasil terbitan Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI).

My Award certificate in Arabic

Selain itu, sebagai mengiktiraf ketokohan beliau, Fun telah dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia pada tahun 2009; mendapat anugerah The Rotary Club of Kuala Lumpur Diraja Research Gold Medal yang dianugerahkan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor pada 2012; anugerah Profesor Emeritus oleh D.M.M.M. Tuanku Canselor USM di Majlis Konvokesyen ke-45 USM pada 2012; gelaran Top Researcher Scientist Malaysia (TRSM) oleh Akademi Sains Malaysia pada 2013.

USM turut berbangga atas kejayaan terkini Fun tersebut dan berharap dengan penganugerahan ini, beliau akan terus memberi sumbangan yang amat bermakna dalam bidang penyelidikan kristalografi, sebagaimana sumbangan beliau yang amat besar kepada pencapaian USM selaku Universiti Penyelidikan pada tahun 2007 dan Universiti APEX pada tahun 2009. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ihsan dari Profesor Emeritus Fun Hoong Kun

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1224

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024