USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BERUSAHA LAHIR LEBIH RAMAI ATLET NEGARA

 DSC7947

PULAU PINANG, 27 Mei 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia memastikan sekurang-kurangnya 30% pelajarnya terlibat sebagai atlet selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Pendidikan Tinggi (PPMPT).

Hal ini dinyatakan oleh Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein dalam Majlis Anugerah Sukan USM ke-37 yang berlangsung di sebuah hotel di sini malam tadi.

“Sesuai dengan motto USM ‘Kami Memimpin’, USM berhasrat untuk terus melahirkan atlet yang berkualiti pada  masa hadapan dengan adanya prasarana sukan yang lengkap, untuk warga USM membuktikan keupayaan melakarkan nama sebagai universiti penyelidikan dan APEX dalam bidang akademik dan turut  cemerlang dalam ko-kurikulum dan sukan,” kata Adnan.

Tambahnya lagi, Lim Chee Wei daripada sukan karate telah membuktikan USM sememangnya mampu melahirkan atlet-atlet terbaik apabila dianugerahkan sebagai Olahragawan MASUM 2014 baru-baru ini.

“Pengiktirafan tersebut menjadi batu loncatan dan semangat untuk atlet kita yang terpilih mewakili negara untuk terus mempamer aksi membanggakan dalam pertandingan yang berskala besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia,” kata Adnan.

Pada majlis tersebut Lim Ping Ru yang aktif dalam sukan penyelamat kecemasan menerima anugerah sukan tertinggi USM iaitu Anugerah Warna Ungu Universiti atas kejayaannya memperoleh 1 emas dan 1 gangsa ketika pertandingan ‘41th International Invitation Life Saving Competition’ yang diadakan di Pulau Pinang, baru-baru ini.

 DSC7927

Anugerah Warna Ungu Universiti diberikan kepada atlit tahun akhir yang menunjukkan prestasi serta kebolehan yang cemerlang ketika mewakili Universiti, negeri dan negara.

Lim Ping Ru juga dinobatkan sebagai Olahragawati USM bagi Sidang Akademik 2014/2015 manakala Lim Chee Wei dinobatkan sebagai Olahragawan USM 2014/2015 pada majlis yang sama.

Ping Ru, 24, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Pengurusan mula mewakili USM sejak tahun 2011 pernah beraksi di kejohanan serupa yang dianjurkan di Australia pada tahun 2012 dan di Perancis pada tahun 2014.

Ping Ru menerima sijil penghargaan, blazer dan lencana Universiti, wang tunai RM500 dan barangan sumbangan Nestle Sdn. Bhd.

“Saya berterima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan pegawai sukan USM yang banyak memberikan sokongan sehingga saya mampu menjadi seperti hari ini,’ katanya.

Tambah Ping Ru lagi, dia tidak menyangka akan menerima anugerah tertinggi ini memandangkan ramai lagi calon yang dilihat mempunyai rekod yang juga boleh dibanggakan.

Ping Ru juga menyatakan hasrat untuk melihat kursus penyelamat kelemasan dimasukkan sebagai salah satu subjek yang patut diajar bermula daripada peringkat sekolah rendah lagi.

“Kursus ini amat penting untuk seseorang tahu cara yang betul dalam kes-kes kecemasan di dalam air dan pengajaran tentang kursus ini telah popular di negara luar seperti di Amerika Syarikat dan Jerman.”

 DSC7949

Buat julung kalinya juga, penghargaan turut diberi kepada tiga individu yang dianggap sebagai ‘Tokoh & Penggiat Sukan’ atas sumbangan yang diberikan dalam pembangunan sukan di USM.

Mereka ialah Timbalan Naib Canselor Inovasi & Penyelidikan, Profesor Dato’ Dr.Muhamad Jantan, Pendaftar, Puan Siti Zubaidah A.Hamid dan pensyarah di Pusat Pengajian Sains Fizik, Profesor Teng Tjoon Tow.

Pengiktirafan dan penghargaan turut disampaikan kepada semua jurulatih, ketua pasukan setiap kategori sukan dan sukarelawan pelajar yang banyak membantu menjayakan setiap kejohanan yang dianjurkan di dalam dan di luar USM.

Anugerah-anugerah lain yang disampaikan pada Majlis Anugerah Sukan USM ke-37 adalah seperti berikut :

Anugerah Ungu Universiti: Lim Ping Ru

Olahragawan USM : Lim Chee Wei (Karate)

Olahragawati USM: Lim Ping Ru

Bintang Harapan Lelaki : Jonnycal Anak Mengok (Olahraga)

Bintang Harapan Wanita : Norhasimah Hasan (Petanque)

Pasukan Terbaik Lelaki 6 <orang : Pasukan Petanque

Pasukan Terbaik Wanita 6 < orang : Pasukan Petanque

Pasukan Terbaik Lelaki 7 > orang : Pasukan Ragbi

Pasukan Terbaik Wanita 7 > orang : Pasukan Bola Keranjang

Anugerah Khas Pelajar Kelainan Upaya : Mohd Sharizal Abdul Aziz (Renang)

Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar​

  • Created on .
  • Hits: 1381

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024