USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AKADEMIA USM KEMUKA CADANGAN TANGANI ISU BERKAIT PENDATANG ASING

DSC 0005fghhg

PULAU PINANG, 27 Mei 2015 – Isu kebanjiran pekerja asing yang dilihat semakin meruncing lewat kebelakangan ini memerlukan satu penyelesaian holistik dengan campur tangan pelbagai pihak termasuk akademia.

Pensyarah merangkap Pengerusi Program Perniagaan Antarabangsa, Pusat Pengajian Pengurusan (PPP) Universiti Sains Malaysia (USM),  Dr. Shankar Chelliah berkata, ada banyak faktor yang berkait dengan isu kebanjiran pekerja asing di negara ini.

Katanya, ia termasuk disebabkan permintaan tinggi oleh pihak industri yang memerlukan ramai tenaga buruh dengan kos yang rendah, selain tawaran pendapatan lumayan yang menarik pekerja asing ke negara ini.

DSC 0002fgh

``Kita tidak boleh nafikan pekerja asing menjadi satu keperluan dalam usaha menuju sebuah negara maju dan membantu pertumbuhan pesat industri dalam negara khususnya sektor pembinaan, pertanian, pembuatan dan sebagainya.

``Pun begitu, senario ini memerlukan satu kawalan dan pemantauan yang menyeluruh, termasuk melihat sama ada ia benar-benar satu keperluan atau sekadar jalan pintas pihak tertentu menjimatkan kos membayar gaji pekerja.

Justeru ujarnya, satu penyelidikan khas di bawah geran Kementerian Dalam Negeri bertajuk Pekerja Asing Di Malaysia: Cabaran dan Perancangan Masa Hadapan Untuk Menjadi Sebuah Negara Berpendapatan Tinggi telah dibangunkan bagi melihat dengan terperinci berkenaan isu itu.

Projek yang diketuai beliau bersama beberapa penyelidik dari PPP itu antara lain bertujuan menyediakan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada pembuat dasar bagi menangani isu yang semakin meruncing ini dengan berkesan.

DSC 0006fh

``Melalui penyelidikan ini, satu kertas cadangan komprehensif akan dikemukakan kepada kerajaan untuk mencari mekanisme terbaik bagi kerajaan, industri dan komuniti bekerjasama untuk menjayakan hasrat sebagai negara berpendapatan tinggi.

``Justeru isu-isu berkait akan turut disertakan dalam kertas cadangan termasuk senario semasa terhadap pekerja asing di negara ini dalam konteks polisi, permintaan sektor industri, impak sosial dan sebagainya,’’ katanya.

Beliau juga berkata, sehingga kini penyelidikan tersebut telah hampir lengkap dijalankan dan akan dikemukakan kepada KDN selewat-lewatnya bulan depan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena Seminar Berkaitan Pekerja Asing: Polisi dan Kerangka Masa Depan di sini hari ini.

Dua panelis khas, masing-masing Pegawai Perhubungan Industri Kanan dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Balakrishnan dan Pegawai Imigresen Cawangan Pelabuhan Pulau Pinang, Afifah Abd. Razak mengupas topik perbincangan dengan penglibatan aktif para pelajar PPP.

Ia termasuk yang menyentuh perspektif MTUC dalam isu sebenar, pandangan industri, cadangan kepada pembuat dasar dan sebagainya, selain perspektif imigresen dalam statistik, polisi dan peraturan serta halatuju masa hadapan. Teks dan Foto: Marziana Mohamed Alias  

  • Created on .
  • Hits: 1270

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024